Selasa, 9 Mac 2010

Bagaikan Mimpi: Srikandi Cintaku

Terbitan: KarnaDya Solutions
Terbit pada: Mac 2010
Sinopsis:
Kepulangan yang disangkanya dinantikan rupa-rupanya satu tragedi yang cukup mengerikan. Kepulangan Dewa Sangkawala diramal akan membawa malapetaka dan bakal membunuh sang ayahanda. Justeru, Mahadewi Andika menggesa para tenteranya untuk memburu Dewa Sangkawala walaupun baginda sedar bahawa yang diburunya itu adalah anakandanya.

Dalam perburuan itu, Dewa Sangkawala dan adinda angkatnya, Sri Terawi telah terdampar ke Kayangan Nilam Sari iaitu kerajaan musuh Kayangan Sanggar Mustika. Sekali lagi mereka berdua menjadi buruan hingga akhirnya mencetuskan satu peperangan.

Dendam lama yang marak bernyala menghidupkan kembali satu kisah silam nan hitam. Seorang demi seorang terkorban hingga ke titik noktah peperangan. Dewa Sangkawala masih tetap dilanda kebingungan.

Srikandi Cintaku... permulaan kepada sebuah pengakhiran. Permulaan kepada satu peperangan. Permulaan kepada satu pencarian dan permulaan kepada dendam yang tidak pernah berkesudahan.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Antologi Puisi: Muara Pahlawan

Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) Penyelenggara: Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Puan Hajah Rohayah binti Haji Abu
Tahun terbitan : 2009
Ulasan :

Kembali menyelami akar budaya Melayu melalui puisi-puisi Melayu lama dan mendalami mesej dalam puisi-puisi moden yang terkumpul dalam antologi istimewa ini. Antologi ini memuatkan hampir 150 puisi Melayu merangkumi nazam, syair, gurindam dan sajak. Puisi-puisi ini dikumpulkan sepanjang bengkel-bengkel anjuran ISMMA dengan kerjasama DBPWS diadakan seperti Bengkel Menghayati Puisi Melayu Lama, Program Perkampungan Puisi Kanak-Kanak dan Remaja 2006 hingga 2008 dan Kembara Puisi Kemerdekaan ke negeri-negeri tertentu iaitu Perak (2006), Johor (2007) dan Pahang (2008). Dua buah puisi Hasif Hamsyari disiarkan di dalam antologi ini.
Antologi Puisi Muara Pahlawan ini juga diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Bahasa Melayu Melaka dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka.

Bagaikan Mimpi

Terbitan : KarnaDya Solutions
Tahun terbitan : 2009

Sinopsis :


DIAN... Dia tidak pernah mengecapi nikmat kejelitaan sebagai seorang gadis. Lantaran sikap ibu dan rakan yang memilih kasih, dia sering berkecil hati... Dian... menjadi seperti pungguk yang setia menantikan sinar rembulan...


DEWA SANGKAWALA... Kerana ketandusan kasih dan sayang seorang ayah, dia telah bersumpah. Siapa sangka, dia terjerat dalam sumpahnya sendiri!
Dua makhluk berbeza dunia ini dipertemukan dalam mencari erti sebuah kehidupan... Namun apa akan jadi apabila takdir menentukan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan?

Trivia : Sebuah puisi di dalam novel ini telah dipersembahkan di hadapan YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia ketika Bual Bicara Program Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Turut disaksikan ialah Canselor UKM, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Datin Dr. Siti Rohayah Ariffin. Sehubungan itu, berita-berita di akhbar tempatan telah menyiarkan penulis (Hasif Hamsyari) dan naskhah Bagaikan Mimpi bersama-sama YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Untuk galeri gambar sepanjang bual bicara ini berlangsung, KLIK SINI.